suria

Catu makanan, 21 tahun hidup berjimat... Lelaki ini akhirnya mampu bersara pada usia 45 tahun, miliki simpanan lebih RM3 juta

Kerja lebih masa dan jimat cermat membantu golongan pekera bersara awal. -Gambar hiasan

"HANYA kerja keras dan berkhidmat lebih masa boleh membawa kepada kejayaan."

Begitulah moto hidup seorang lelaki Jepun yang berjaya memiliki simpanan persaraan sebanyak 100 juta yen atau dianggarkan sekitar RM3.02 juta.

Turut menulis buku mengenai petua kelangsungan hidup, lelaki berusia 45 tahun ini mengakui telah menjalani kehidupan berjimat cermat selama lebih 21 tahun demi mencapai matlamat persaraannya.

Berkongsi cerita, dia yang mempunyai pendapatan tahunan kira-kira 5 juta yen (RM151,454) sanggup melakukan kerja lebih masa sehingga tengah malam selama beberapa hari dalam seminggu.

Pada masa sama, dia mengambil peluang untuk tinggal di asrama syarikat selama lebih 20 tahun dengan bayaran 30,000 yen (RM908) sebulan selain berjimat cermat dalam soal pengambilan makanan.

Turut berjaya menamatkan perkhidmatan pada usia muda, lelaki ini juga berkongsi sajian hariannya kepada umum.

Menurutnya, untuk makan malam, dia biasanya makan plum masam, jeruk dan nasi, atau nasi dengan air yang ditapis.

Kadangkala dia hanya mengambil minuman tenaga dalam tin yang diperoleh secara percuma menerusi penebusan mata ganjaran di kedai serbaneka atau menikmati minuman cola bersama biskut sambil menonton filem.

Menyedari kehidupan yang dijalaninya seperti 'hukuman penjara', dia turut mendedahkan tidak pernah menggunakan penghawa dingin atau pemanas, sebaliknya mengekalkan diri sejuk pada musim panas dengan kemeja-T basah atau memanaskan badan pada musim sejuk dengan senaman.

Pengorbanan selama 20 tahun 10 bulan akhirnya membuahkan hasil apabila pada awal tahun 2024, dia mengumumkan di media sosial akhirnya berjaya menjimatkan 135 juta yen, atau kira-kira RM4,089,258.

Walaupun mempunyai simpanan yang banyak, dia kini sering makan empat biji telur rebus sebagai sarapan pagi. - Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain