suria

Kempunan miliki kereta baharu, suami palsukan kematian isteri

Pemalsuan dokumen adalah satu jenayah. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki sanggup memalsukan kematian isterinya, semata-mata ingin membuat pinjaman di institusi kewangan bagi membeli sebuah kereta baharu.

Ia berikutan, permohonan pinjamannya ditolak kerana tidak mendapat persetujuan daripada wanita terbabit.

Menurut pegawai penyiasat polis daerah Palopo, AKP Sayed Ahmad Aidid, perbuatan lelaki berusia 34 tahun itu terbongkar selepas isterinya yang bertugas sebagai pegawai negeri di Palopo, Sulawesi Indonesia itu berasa curiga dengan kewujudan kenderaan tersebut.

Ujarnya, wanita itu kemudian membuat semakan di institusi kewangan pada 30 Januari lalu kerana kenderaan dikeluarkan tanpa pengetahuannya.

"Dia curiga bagaimana suaminya boleh mengeluarkan kereta baharu tanpa persetujuan, dari situlah dia temukan surat keterangan kematian atas namanya," ujar Sayed.

Susulan daripada itu, isterinya membuat laporan polis dan mendakwa suaminya memalsukan dokumen kematian.

Tambah Sayed, jenayah yang dilakukan itu membolehkan lelaki terbabit dihukum penjara selama enam tahun.

Dalam pada itu, isterinya juga menyatakan ketegasan untuk berpisah kerana sudah tidak tinggal sebumbung selain mendakwa lelaki terbabit telah menjalin hubungan sulit dengan wanita lain. - Detik.com

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain