SEORANG guru sekolah swasta berusia 38 tahun mati dibunuh oleh rakan sebilik di asramanya pada Sabtu malam. Menurut polis Chennai di India, insiden itu tercetus selepas suspek yang dikenali sebagai Ganesh membuat gangguan bunyi dan mengeluarkan kata-kata kesat kerana berada di bawah pengaruh alkohol. Ia menyebabkan mangsa, Neeli Venkataramana, yang sedang tidur terjaga lalu menegur suspek dan menyebabkan pertengkaran antara mereka berdua. Berang dengan teguran itu, Ganesh berlari ke bahagian bawah asrama dan kembali beberapa minit kemudian dengan pisau cukur, lalu menyerang Venkataramana. Usaha oleh rakan sebilik untuk menyelamatkan mangsa gagal ekoran pelbagai kecederaan yang menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian. ARTIKEL BERKAITAN: Hasrat nak cantik bertukar tragedi, wanita maut ketika proses sedut lemak Para penghuni kemudian memaklumkan kepada kakitangan asrama yang kemudiannya segera menghubungi pihak polis. Polis berkata siasatan lanjut sedang dijalankan, namun Ganesh yang melarikan diri masih belum ditangkap. Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai tukang gunting rambut menginap di asrama itu bersama mangsa serta tiga individu sejak beberapa bulan lalu. Venkataramana berasal dari daerah Nandyal, manakala Ganesh pula berasal dari Visakhapatnam di Andhra Pradesh. - Agensi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube