"KEHIDUPAN adalah misteri dan telah ditakdirkan." Demikian reaksi warga maya selepas mengetahui kisah seorang wanita yang diselamatkan individu sama dalam dua insiden yang hampir serupa. Malah kejadian tersebut berlaku dalam tempoh masa 25 tahun. Memetik laporan South China Morning Post, pada 17 Julai lalu, wanita dikenali Xu Can dari Yiyang China memandu seorang diri sebelum tiba-tiba terbabas ke dalam kolam. Panik dengan situasi yang berlaku, dia kemudiannya berjaya mengeluarkan kepala menerusi celahan kecil tingkap untuk menjerit meminta tolong. Tang dan Xu ketika bertemu pada 19 Julai lalu. Kebetulan pada masa tersebut, seorang pesara tentera Tang Keming, 71, sedang memasak makan malam di rumahnya yang terletak berhampiran lokasi kejadian. “Saya melihat sebuah kereta berwarna merah maroon di dalam kolam, dengan hanya bumbung yang kelihatan di atas air. Leher pemandu tersangkut di tingkap, dan dia menjerit meminta tolong. "Biasanya, pintu ditutup semasa saya memasak, jadi saya tidak akan mendengar apa-apa. Tetapi hari itu, secara kebetulan, pintunya dibuka,” ujar Tang. Bertindak pantas selepas melihat situasi getir tersebut, dia kemudiannya mengambil cangkul dari rumahnya dan terus melompat ke dalam kolam bagi menyelamatkan Xu. Susulan tindakannya itu, Xu berjaya diselamatkan. Bagi membalas jasa dan menyampaikan ucapan terima kasih secara peribadi, Xu kemudiannya melawat Tang pada 19 Julai. Menerusi perbualan, tanpa diduga Xu menyedari bahawa Tang adalah anggota tentera yang menyelamatkannya dari kolam yang sama, 25 tahun lalu. Menurut Xu, pada masa tersebut dia berada di tahun pertama sekolah rendah dan terjatuh ke kolam yang sama akibat kenakalannya ketika itu sebelum diselamatkan oleh Tang. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube