suria

Dinding runtuh, sembilan kanak-kanak maut tertimbus ketika sertai upacara keagamaan

Sebuah jentolak digunakan untuk mencari mayat kanak-kanak selepas dinding sebuah rumah runtuh di Madhya Pradesh pada Ahad. -Foto Screengrab/Indiatoday

SEKURANG-kurangnya sembilan kanak-kanak maut selepas dinding rumah usang runtuh menimpa mereka ketika sedang menyertai upacara keagamaan di daerah Sagar, Madhya Pradesh, India.

Dalam insiden yang berlaku pada kira-kira pukul 8.30 pagi, Ahad, dilaporkan empat kanak-kanak lain mengalami kecederaan dan keadaan mereka dikatakan kritikal.

Memetik laporan Indiatoday, dinding rumah usang berkenaan runtuh akibat hujan lebat.

"Kanak-kanak sedang duduk di dalam khemah di premis kuil berhampiran rumah usang berkenaan apabila dinding runtuh menimpa mereka.

"Struktur dinding menjadi lemah akibat hujan lebat baru-baru ini. Kejadian berlaku pada 8.30 pagi. Sembilan kanak-kanak maut selepas tertimbus di bawah runtuhan dinding," kata seorang jurucakap.

Sebuah jentolak digunakan untuk mencari kanak-kanak yang terperangkap di bawah serpihan batu-bata.

Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Daerah Sagar untuk proses bedah siasat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Suami Kiah Propa meninggal dunia