suria

Licik! Perdaya lelaki ajak kahwin, kikis hingga pokai... Wanita kaut lebih RM631,000

Wanita ini akhirnya ditahan selepas kegiatan liciknya terbongkar. -Foto KhaoSod

SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Kegiatan seorang wanita yang aktif melakukan penipuan sehingga melibatkan jumlah yang besar, akhirnya terbongkar selepas beberapa mangsa tampil membuat laporan polis.

Wanita yang dikenali sebagai Sunisa Thinthan, 30, ditahan di sebuah hotel di Sukhumvit, Bangkok, Thailand pada 7 Ogos lalu.

Menurut Timbalan Superintendan Akkarapol Wongrithiwal, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berkaitan penipuan Sunisa, yang sebelum ini pernah disabitkan dengan penipuan dan dipenjarakan pada 2021.

Bagaimanapun selepas dibebaskan, dia masih ligat meneruskan aktiviti penipuannya.

Terbaharu, tiga lagi mangsa tampil membuat laporan polis, dan salah seorangnya adalah lelaki yang diperdaya Sunisa untuk berkahwin.

Sittichai, pengantin lelaki berusia 21 tahun yang diperdaya Sunisa, mendedahkan bahawa mereka mula berkenalan menerusi Facebook.

Selepas melangsungkan perkahwinan, Sunisa mengosongkan akaun bank, menjual komputer, merampas telefon dan mengambil barangan milik Sittichai sehingga pemuda berkenaan 'pokai'.

Selain Siitichai, dua mangsa lain yang dipercaya Sunisa adalah perancang perkahwinan dan anak kepada pemilik syarikat katering.

Dianggarkan jumlah kerugian yang dialami kesemua mangsa adalah sebanyak 5 juta baht (RM631,693).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain