suria

Nenek mata duitan, sanggup 'jual' cucu usia sehari... Suami isteri sebak lihat anak lelaki selepas terpisah 37 tahun

Pasangan Li bertemu semula dengan anak lelaki ketiga mereka selepas 37 tahun.

KESUSAHAN dan kemiskinan yang dialami mendorong masyarakat dahulu menyerahkan anak masing-masing kepada keluarga angkat.

Bagaimanapun, situasi berbeza bagi sepasang suami isteri di Weinan, Shaanzi, China, apabila perpisahan dengan anak lelaki ketiga mereka dilakukan secara paksa.

Mengimbau kejadian yang berlaku pada 1986, pasangan yang dikenali sebagai Li berkata, anak lelakinya itu diserahkan kepada keluarga angkat ketika berusia sehari oleh neneknya.

Tindakan tersebut bukan sahaja dibuat tanpa persetujuan, malah mereka hanya mengetahuinya selepas penyerahan dilakukan.

Lebih menyedihkan apabila, neneknya menerima sejumlah wang daripada keluarga angkat terbabit, seolah-olah bayi tersebut dijual.

Susulan daripada itu, pasangan Li tidak berhenti mencari anak ketiga mereka sehinggalah dipertemukan kembali selepas 37 tahun.

Ia berikutan, pada Februari lalu, sampel darah pasangan ini didapati sepadan dengan seorang lelaki, dengan nama keluarga Pang, yang tinggal di Zaozhuang.

Perkara tersebut disahkan menerusi pangkalan data Kementerian Keselamatan Awam.

Pada 3 Ogos, dengan bantuan pegawai polis, ketiga-tiga mereka bertemu di Weinan tempat lelaki tersebut dilahirkan 37 tahun sebelumnya.

Video pertemuan semula mereka telah mendorong curahan emosi di China.

“Nenek itu sangat kejam. Dia meninggalkan cucunya sendiri.

“Anak lelaki itu kelihatan malu semasa bertemu semula keluarganya. Dia tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap ibu bapa kandungnya yang tidak membesarkannya," ujar beberapa warga maya. - South China Morning Post

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain