suria

Pelajar perubatan ditemukan mati di bilik sewa, suntik ubat pelali dalam badan sendiri… Diari rungkai punca bunuh diri

Tekanan yang dihadapi menyebabkan segelintir individu nekad membunuh diri. -Gambar hiasan

SEORANG pelajar jurusan perubatan di Universiti Diponegoro (Undip), Jawa, Indonesia berusia 30 tahun ditemui mati di bilik sewanya, disyaki membunuh diri.

Menurut Ketua Polis Daerah Gajahmungkur, Komisioner Agus Hartono, mangsa yang sedang mengikuti Program Pengajian Doktor Pakar (Anestesia), meninggal dunia selepas menyuntik ubat pelali ke dalam badannya sendiri.

Agus berkata, pihak polis yang mendapat maklumat bergegas ke lokasi rumah sewa mangsa di Desa Lempongsari, Semarang pada pukul 11 malam, Isnin lalu.

Ketika ditemui, mayat mangsa berada dalam posisi terbaring dan wajahnya sudah kebiruan.

Menurut Agus, penemuan mayat tersebut bermula susulan rasa curiga teman wanita mangsa yang gagal menghubunginya.

"Selepas gagal menghubungi teman lelakinya, wanita tersebut meminta bantuan rakan mangsa untuk memeriksa, namun bilik dikunci dari dalam.

"Akhirnya rakan mangsa menelefon tukang kunci dan sebaik membuka pintu bilik, mangsa ditemui tidak bernyawa", ujarnya pada Rabu.

Ujar Agus, siasatan pihaknya di lokasi kejadian turut menemui diari mangsa.

Dedah Agus, antara kandungan diari tersebut adalah luahan mangsa mengenai kepayahan menjadi pelajar perubatan, selain perkara membabitkan seniornya.

Menurutnya lagi, keluarga mangsa enggan melakukan bedah siasat dan menuntut membawa pulang mayat ke kampung untuk urusan pengebumian. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain