suria

Belum sempat teroka kebun sawit, bekas pengetua sekolah ditembak mati... Rupanya terlibat pertikaian penjualan tanah

Membunuh adalah satu kesalahan jenayah. -Gambar hiasan

HARTA dan tanah warisan sering menjadi punca pergaduhan antara ahli keluarga.

Konflik yang berlaku bukan sahaja menyebabkan hubungan kekeluargaan renggang, malah terdapat beberapa kes kematian dilaporkan berlaku.

Terkini, bekas pengetua sekolah berusia 61 tahun maut selepas dipercayai terlibat dalam pertikaian sebidang tanah di ladang kelapa sawit di Moo 8, mukim Pru Din Na, di Khlong Thom, Thailand.

Walaubagaimanapun, mangsa yang dikenali sebagai Atchara bukanlah merebut tanah berstatus pertanian berkenaan, sebaliknya menjadi mangsa amarah bekas pemilik yang tidak bersetuju atas penjualan tapak tersebut.

Memetik laporan Thaiger, pasukan polis di daerah Khlong Thom, Krabi menerima laporan mengenai insiden pembunuhan tersebut pada Khamis.

Mangsa yang memakai baju untuk aktiviti perkebunan ditemukan dengan kesan tembakan menggunakan senapang patah di bahagian badan.

Motosikal miliknya juga berada di kawasan berhampiran.

Berdasarkan siasatan awal polis, suspek yang identitinya tidak didedahkan tinggal kira-kira 200 meter dari lokasi mayat ditemui.

Suspek turut mengaku menggunakan senapang patah laras panjang dan melepaskan dua das tembakan selepas menunggu mangsa di lokasi kejadian.

Tambah polis, pertelingkahan berpunca daripada pertikaian tanah kira-kira empat ekar yang dijual anak perempuan suspek kepada mangsa.

Difahamkan, suspek sebelum ini telah menyerahkan tanah tersebut kepada anak perempuannya, namun dia tidak berpuas hati dengan keputusan untuk menjualnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain