suria

Lelaki tulis nota sebelum bunuh diri, kecewa dapat tahu isteri curang dengan doktor - “Saya akan cintakan awak walau selepas mati”

Tekanan yang dihadapi menyebabkan segelintir individu nekad membunuh diri. -Gambar Hiasan

TULAR satu hantaran di media sosial mengenai kisah seorang lelaki berusia 26 tahun dari China yang didakwa membunuh diri setelah mendapat tahu bahawa isterinya curang dengan seorang doktor.

Kisah lelaki tersebut menjadi tular selepas didedahkan ibunya menerusi perkongsian di Weibo.

Lelaki malang tersebut yang dikenali sebagai Wang dilaporkan membunuh diri di bilik hotel pada 2 Ogos lalu.

Isteri Wang yang dikenali sebagai, Mao, seorang jururawat, dikhabarkan menjalin hubungan sulit dengan seorang pakar bedah di Hospital Litongde, Zhejiang.

Segala-galanya bermula apabila Wang menemukan mesej berbaur seks antara isterinya bersama doktor tersebut, ketika memindahkan data daripada telefon lama ke telefon baru.

Pada mulanya, Wang menyangka hubungan antara isterinya dengan doktor berkenaan bukan atas dasar suka sama suka, dan menyangka berkemungkinan pasangannya telah dirogol.

Namun siasatan polis mendedahkan perkara sebaliknya, menyebabkan Wang tertekan.

Mao bagaimanapun memohon maaf kepada Wang dan cuba memujuknya bercuti ke sebuah hotel untuk menyelesaikan masalah rumah tangga mereka.

Disebabkan terlalu emosi, Wang cuba mencekik isterinya tetapi dia tidak sanggup berbuat demikian kerana enggan menyakiti wanita itu.

Wang sebaliknya menghalau Mao sebelum mengambil nyawanya sendiri disebabkan tidak dapat menahan tekanan dihadapinya.

Sebelum menamatkan riwayatnya, Wang sempat meninggalkan surat kepada Mao.

"Terima kasih kerana menghabiskan masa sama saya pada tahun terbaik saya.

"Saya akan mencintai awak walaupun selepas saya mati," demikian isi kandungan surat yang ditulis oleh Wang.

Perkongsian tersebut mengundang simpati warga maya yang menyifatkan Wang tidak seharusnya 'menghukum' diri sendiri atas kesalahan orang lain. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain