CINTA sejati akan kekal selamanya. Begitulah gambaran kasih sayang seorang lelaki Jepun terhadap isterinya meskipun telah 13 tahun 'terpisah' akibat tragedi tsunami. Pada 11 Mac 2011, Yuko Takamatsu, 47, dihanyutkan dari bumbung pejabatnya di Onagawa dan merupakan antara puluhan ribu orang yang terkorban dalam bencana tersebut. Sejak dilaporkan hilang, suaminya, Yasuo Takamatsu, tidak putus harapan dan sudah menyelam lebih 600 kali mencari mayatnya. Malah dia dipercayai telah belajar menyelam demi mencari mayat isterinya. Menurut laporan media tempatan, Yuko bekerja di sebuah bank pada hari dia dilaporkan hilang. Suaminya, Yasuo berkata, pada hari kejadian, dia memandu isterinya ke tempat kerja sebelum menjemput ibu mentuanya dari hospital. Kemudian, pada pukul 2 petang, gempa bumi kuat melanda dan berlarutan selama enam minit. Yasuo menerima mesej terakhir daripada isterinya pada pukul 3.21 petang yang bertanyakan sama ada dia berada dalam keadaan baik atau tidak. Malah isterinya juga menyatakan dia akan pulang selepas bersama rakan sekerja menaiki platform setinggi 30 kaki untuk melarikan diri dari tsunami yang dijangkakan berlaku. Tetapi apabila ombak melanda pantai, ia meningkat sehingga 60 kaki, menghanyutkan Yuko dan rakan-rakannya ke laut sehingga terputus hubungan selama-lamanya. Untuk mencari mayat Yuko pada tahun 2013, Yasuo menghabiskan satu jam sehari membaca manual menyelam 350 muka surat dan belajar daripada Masayashi Takahashi, seorang pakar yang sebelum ini telah menjumpai mayat dari laut. Selepas meluluskan lesen menyelam kebangsaannya pada 2014, dia membuat ratusan selaman di sepanjang pantai Jepun, bertekad untuk melakukan pengebumian isteri seperti yang sepatutnya. Yasuo sudah menyelam tidak kurang 600 kali sehingga kini, namun sejak 13 tahun lalu, dia hanya menemui beberapa benda dan masih belum menemui mayat isterinya. Sesukar mana pun misi itu, dia tidak boleh berputus asa kerana menyelam membuatkan dia berasa paling rapat dengan isterinya. - Sanook Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube