suria

Remaja 17 tahun rompak kedai emas, siap bawa pistol! Dedah sebab meruntun jiwa terpaksa buat ‘jahat’

Polis tempatan memeriksa keadaan di kedai emas yang dirompak.

KESEMPITAN kewangan boleh menyebabkan seseorang itu mengambil tindakan drastik.

Antaranya merampas hak orang lain dengan merompak atau menyamun supaya dapat menjana pendapatan segera.

Begitulah kisahnya apabila seorang remaja berusia 17 sanggup mencuri seutas gelang tangan berharga 200,000 baht (RM25,458) dari sebuah kedai emas di Ratchada, Bangkok pada Ahad.

Ketika rompakan, remaja terbabit mengenakan topi bersama pelitup muka untuk menyamar sebagai pelanggan, dia kemudiannya berpura-pura melihat gelang emas sambil bertanya soalan kepada seorang pekerja.

Walaupun begitu, tindakannya itu berjaya dihidu pekerja terbabit yang berasa curiga melihat tangan menggigil remaja berkenaan ketika memegang gelang.

Pekerja itu seterusnya menyuruh remaja tersebut untuk membuka pelitup muka dan mendedahkan wajahnya, namun suspek lebih pantas bertindak melarikan diri dengan seutas gelang emas.

Bagaimanapun seketika kemudian, suspek kembali semula ke kedai emas sambil membawa sepucuk pistol, dia melepaskan dua das tembakan tetapi tidak mengenai sesiapa.

Remaja itu kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal.

Polis berjaya menahan suspek pada hari sama, setelah disoal siasat, remaja itu menjelaskan dia terpaksa merompak kedai emas untuk menyara isteri dan anaknya yang berusia setahun.

Remaja terbabit kini berdepan empat dakwaan iaitu menggunakan senjata api untuk melakukan jenayah, cubaan membunuh, membawa senjata api di tempat awam dan memiliki senjata api tanpa kebenaran. - Thaiger

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain