suria

Bapa ditahan, disyaki bunuh bayi berusia 2 bulan... Dakwa anak bawa nasib malang

Seseorang yang hilang pertimbangan sanggup membunuh darah daging sendiri. -Gambar hiasan

SEORANG bayi lelaki berusia dua bulan ditemui mati dengan tubuh badannya penuh dengan kesan lebam, dipercayai dibunuh oleh bapanya sendiri, lapor Detik.

Difahamkan, bayi malang tersebut adalah anak tunggal kepada pasangan muda yang merupakan penduduk Desa Mejasem, Pekalongan, Jawa, Indonesia.

Ketua Polis Daerah Sragi, AKP Prosandi Tiar berkata, bapa bayi tersebut yang dikenali sebagai NF, 27, sudah ditahan polis dan ketika ini pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

Selain itu ujarnya, polis turut mengambil keterangan ahli keluarga mangsa yang lain.

Sementara itu, seorang wakil penduduk yang dikenali sebagai Kamal Yusuf berkata, bayi itu ditemui tidak bernyawa selepas ditinggalkan oleh ibu dan neneknya yang menghadiri undangan majlis perkahwinan jiran.

Dalam perjalanan pulang, ibu mangsa terserempak dengan suaminya di jalanan, yang memberi alasan mahu ke kedai untuk membeli sesuatu.

Bagaimanapun setibanya di rumah, ibu mangsa berasa curiga kerana keadaan rumah yang sunyi, sebelum menemui jasad mangsa yang sudah lemah di dalam bilik dan mempunyai kesan luka.

NF yang pulang ke rumah sejam kemudian segera ditahan polis.

"Bapanya (suspek) berkata, anaknya itu membawa nasib malang. Jiran mendakwa dia dan isterinya selalu bergaduh dan dia sering mabuk," katanya.

Ketika ini, mayat bayi malang itu dibawa ke Pusat Kesihatan Masyarakat Sragi untuk tindakan lanjut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain