suria

Baru 2 tahun kahwin, pasangan suami isteri tamatkan riwayat bersama-sama kerana masalah rumah tangga

Pertengkaran pasangan ini berakhir dengan tragis. -Foto Indiatoday

SEPASANG suami isteri ditemui mati dalam keadaan yang mencurigakan di daerah Mandya, Karnataka, India, dengan polis mengesyaki kematian pasangan berkenaan sebagai kes bunuh diri.

Mayat wanita yang dikenali sebagai Swati, 22, ditemui dalam keadaan tergantung di rumahnya pada petang Selasa, manakala mayat suaminya, Mohan, 25, ditemui pada pagi Rabu di sebuah tasik yang terletak satu kilometer dari rumah mereka.

Menurut polis, pasangan berkenaan yang berkahwin sejak dua tahun lalu dan mempunyai bayi berusia setahun, berdepan dengan masalah rumah tangga dan sering bertengkar.

"Berdasarkan penilaian awal, nampaknya kedua-duanya adalah kes bunuh diri," kata polis yang dipetik Indiatoday.

Bagaimanapun, keluarga Swati memfailkan aduan terhadap keluarga Mohan, menuduh mereka sebagai punca kerana membangkitkan isu hantaran (mahar).

Menurut polis, keluarga Swati mendakwa Mohan membunuh wanita tersebut dan kemudian membunuh dirinya dengan terjun ke dalam tasik.

"Pasangan itu kerap bergaduh sepanjang perkahwinan mereka," kata polis.

Difahamkan kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut pihak polis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain