PEKERJA pembersihan yang diupah untuk membersihkan dan mengemas rumah seorang lelaki di Kyoto, Jepun terkejut apabila menemukan tulang manusia, yang kemudian dikenal pasti sebagai ibu kepada pemilik kediaman berkenaan. Memetik laporan South China Morning Post, pemilik rumah yang merupakan seorang lelaki itu mengupah sebuah syarikat pembersihan untuk mengemas kediamannya kerana perlu berpindah untuk memulakan pekerjaan baharu. Dia tinggal bersendirian di rumah tersebut yang penuh dengan timbunan sampah serta barangan yang bersepah serta tidak berkemas. Sebelum ini, dia mendiami rumah tersebut bersama ibu, bapa dan seorang kakaknya. Namun ibunya 'ghaib' kira-kira 10 tahun lalu, manakala bapanya meninggal dunia beberapa tahun kemudian, dan kakaknya pula berpindah untuk bekerja. Semasa sedang melakukan kerja-kerja pembersihan, para pekerja terkejut apabila menemukan tulang manusia di bawah selimut. Pada mulanya mereka menyangka ia adalah model rangka semata-mata, namun selepas menelitinya, mereka menyedari ia adalah tulang manusia yang sebenar. Penemuan berkenaan segera dimaklumkan kepada pemilik kediaman berkenaan. Mengesyaki rangka tersebut berkemungkinan milik ibunya, lelaki itu segera menghubungi polis, yang kemudian mengesahkannya. Lelaki tersebut mengesyaki bahawa ibunya telah meninggal dunia bersendirian di dalam biliknya. Ujar lelaki tersebut, ibunya sering meninggalkan rumah selama berhari-hari dan jarang bercakap dengan sesiapa. "Kemungkinan ibu saya pulang selepas beberapa hari keluar dan tiada sesiapa dalam keluarga kami yang menyedarinya," katanya. Selain itu, keadaan rumah yang dipenuhi dengan timbunan sampah dan berbau busuk, menyukarkan sesiapa menyedari bau mayat yang luar biasa. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube