TINDAKAN hakim wanita menolak permohonan nafkah bekas isteri terhadap seorang lelaki, mendapat sokongan dan pujian daripada warga maya. Kebanyakannya menyatakan hakim terbabit membuat keputusan yang tepat selepas mengetahui jumlah alimoni yang dimohon wanita berkenaan. “Sekali lagi hakim wanita membuat pertimbangan yang betul! Harap ini berlaku lebih kerap. “Hakim ini benar-benar bahan CJI masa depan. Harap perkara ini disedari dan diambil perhatian,” kata beberapa warga maya. Menerusi video prosiding mahkamah dari Mahkamah Tinggi Karnataka di India yang tular, seorang hakim dilihat menegur tindakan peguam wanita yang menuntut lebih Rs616,300 atau kira-kira RM32,131 sebulan sebagai nafkah untuk anak guamnya. Malah dalam perbicaraan yang berlangsung pada 20 Ogos lalu, hakim terbabit turut mencadangkan wanita berkenaan mencari pekerjaan jika ingin berbelanja seperti itu selain menyifatkan tuntutan tersebut sebagai tidak munasabah. Berdasarkan perincian tuntutan, peguam wanita tersebut menyatakan sejumlah Rs400,000 (RM20,800) sebulan untuk rawatan sakit lutut termasuk fisioterapi dan ubat-ubatan serta perbelanjaan berkaitan. Sejumlah Rs50,000 (RM2,600) untuk aksesori dan kasut manakala Rs60,000 (RM3,130) untuk makanan. Bagi meyakinkan hujahnya, dia turut memaparkan gaya hidup bekas suami anak guamnya yang gemar memakai pakaian berjenama. Walaubagaimanapun, hakim menolak kesemua hujah berkenaan selepas mengambil kira tanggungjawab lelaki terbabit yang menanggung keperluan dan membayar yuran sekolah kesemua anak-anaknya. "Tolong jangan beritahu mahkamah bahawa ini adalah keperluan seseorang. “Enam lakh (ratus ribu), enam belas ribu, tiga ratus sebulan? Adakah sesiapa berbelanja sebanyak ini? Seorang wanita 'bujang' untuk dirinya sendiri?," kata hakim itu sebagai respons kepada petisyen itu. Hakim juga meminta peguam terbabit untuk menjelaskan kepada anak guamnya bahawa tuntutan tersebut tidak munasabah. “Anda tidak mempunyai tanggungjawab lain terhadap keluarga. Anda tak jaga anak-anak,” katanya sambil menambah bahawa nafkah tidak sepatutnya menjadi hukuman kepada suami. - WION Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube