GARA-GARA lantang mengkritik bau badan lelaki, seorang pembaca berita televisyen Jepun dipecat. Yuri Kawaguchi, 29, yang berpangkalan di Tokyo, adalah seorang juruhebah bebas dan terkenal dengan pandangan feminisnya. Dia yang juga seorang pensyarah latihan pencegahan gangguan didapati mengeluarkan kenyataan kontroversi pada 8 Ogos lalu, yang mendakwa bahawa bau badan lelaki 'sukar untuk menahan', dan mencadangkan mereka mandi lebih kerap. "Saya benar-benar minta maaf jika ada situasi peribadi, tetapi bau lelaki pada musim panas atau bau badan orang yang tidak bersih sangat tidak selesa. "Saya mahu menjadi bersih, jadi saya mandi beberapa kali sehari, menggunakan kain lap penyegar, dan menggunakan perencat peluh sepanjang tahun. Saya rasa lebih ramai lelaki patut melakukan ini,” coretnya di hantaran X yang mempunyai 13,000 pengikut. Kenyataan yang dilihat secara khusus menyasarkan golongan lelaki, sangat menyinggung perasaan ramai dan membawa kepada tuduhan diskriminasi jantina. Menyedari kenyataannya mendapat kecaman ramai, dia tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan melepaskan jawatan pada 11 Ogos. Apabila kontroversi semakin meningkat, agensinya, VOICE, memutuskan untuk menamatkan kontraknya dan menyebut 'fitnah kehormatan berlainan jantina' sebagai alasan. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 16 Ogos, VOICE berkata ia telah menerima banyak aduan dan e-mel. Mereka berkata ia melanggar prinsip syarikat untuk seorang profesional, yang mencari nafkah melalui bahasa, menggunakannya dengan cara yang membahayakan orang lain dan menyebabkan ketidakselesaan kepada ramai. Syarikat lain, yang mengupah Kawaguchi sebagai pensyarah untuk pendidikan pencegahan gangguan, juga menamatkan kontraknya. - South China Morning Post Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube