suria

Doktor pakar benar anak umur 13 tahun bantu buat pembedahan, siap gerudi tengkorak pesakit!

Proses pembedahan merupakan satu momen kritikal. -Gambar hiasan

TINDAKAN seorang pakar bedah membiarkan anak perempuannya yang berusia 13 tahun mengambil alih prosedur dalam bilik pembedahan menimbulkan perdebatan hangat di media sosial.

Dalam kejadian pada 13 Januari 2024 itu, kanak-kanak terbabit dilaporkan membantu menggerudi lubang pada tengkorak seorang pesakit di Hospital Universiti Graz, Austria.

Pesakit malang yang dikenali sebagai Styria itu pada mulanya mengalami kecederaan serius di kepala akibat terbabit dalam kemalangan di hutan dan seterusnya dikejarkan ke hospital.

Keadaan Styria berjaya distabilkan selepas berada di dalam unit rawatan rapi (ICU) selama 11 hari, dia kini masih belum mampu bekerja.

Pada 26 April, satu aduan dikemukakan ke pejabat pendakwa raya mengenai tindakan yang dianggap tidak beretika oleh pakar yang menjalankan pembedahan ke atas Styria.

Bagaimanapun mangsa ketika dipanggil oleh pihak polis untuk memberikan keterangan berkata dia tidak mempunyai sebarang ingatan sewaktu dirinya dibedah.

Dalam pada itu, abang kepada Styria tampil menawarkan diri menjadi saksi yang mana dia menyatakan melihat kejadian itu di depan mata dan berjaya menghalangnya sebelum keadaan semakin melarat.

"Saya berkemungkinan sudah menyelamatkan nyawa adik saya," kata si abang.

Pakar bedah berkenaan dan seorang lagi rakan sekerjanya sudah dipecat, manakala lima individu lain yang didakwa terlibat sedang dalam siasatan.

Peguam mewakili Styria kini mahu menuntut saman dan bayaran ganti rugi. - AGENSI

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain