BERPANTANG maut sebelum ajal. Begitulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan keajaiban si bulus ini apabila dia terselamat selepas dua kali terjatuh dari tingkat tujuh sebuah unit apartment di Brussels, Belgium. Kucing yang diberikan nama Kushi itu dikatakan berusia 2 tahun. Berdasarkan perkembangan terkini oleh tuannya, Feim Mehmed, 28, Kushi dilihat memakai balutan pada kedua-dua belah kaki hadapannya. Kushi difahamkan patah sebelah kaki manakala kaki yang lain pula terseliuh selepas terjatuh dari balkoni unit apartment pada April lalu. Ini adalah kali kedua dalam hayatnya Kushi terjatuh dari balkoni yang sama. Kushi bagaimanapun bernasib baik kerana tidak memerlukan pembedahan untuk merawat kecederaannya. "Apabila saya menemukan Kushi selepas dia terjatuh, saya ingat Kushi akan mengalami kecederaan yang serius kerana rumah saya agak tinggi juga. "Tak sangka pula Kushi berada dalam keadaan yang baik-baik saja. "Saya terus bawa dia pergi jumpa doktor haiwan, rupanya Kushi ada tulang yang patah, tapi boleh pulih sendiri dan tak perlukan pembedahan," ujar Mehmed yang ketika kejadian keluar untuk membeli barang dapur. Kushi berjaya pulih sepenuhnya dalam masa 21 hari. - DailyMail Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube