suria

Saintis cipta robot bersaiz sebutir nasi, bergerak dalam tubuh manusia untuk hantar ubat

Robot itu dicipta oleh saintis Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. -Foto NTU Singapore

SEKUMPULAN penyelidik berjaya mencipta robot bersaiz sebutir nasi yang dapat dikawal untuk menghantar ubat ke bahagian tertentu dalam tubuh manusia.

Ia dicipta oleh para saintis di Sekolah Kejuruteraan Mekanikal dan Aeroangkasa, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

Robot perubatan itu boleh dimasukkan ke dalam tubuh manusia sebelum dipandu ke destinasi sasaran menggunakan medan magnet.

Malah, ia berupaya menghantar sehingga empat jenis ubat yang berbeza di lokasi berasingan dalam satu perjalanan.

Menurut pembantu profesor, Lum Guo Zhan, robot itu juga berupaya menghantar ubat berbeza dengan dos yang spesifik.

ARTIKEL BERKAITAN: Saintis bangunkan robot terbang seperti ‘alien’ ganti lebah, siap ada GPS

"Robot kami mempunyai potensi besar untuk membolehkan terapi kombinasi sasaran canggih, yang mana empat jenis ubat perlu dihantar ke pelbagai lokasi penyakit dengan urutan dan dos ubat yang spesifik.

Kaedah pengambilan ubat biasa secara oral dan suntikan akan kelihatan kurang berkesan jika dibandingkan dengan penggunaan robot kecil ini," ujarnya kepada laman berita teknologi New Atlas.

Lebih menarik, penghasilan robot itu diinspirasikan daripada filem sci-fi klasik, Fantastic Voyage.

Dalam filem itu, kru kapal selam bertukar kepada saiz mikroskopik untuk menjelajah tubuh seorang saintis yang cedera bagi membaiki otaknya yang rosak.

Sebelum ini, pasukan sama telah mencipta robot yang digunakan untuk memegang objek kecil.

Namun, perkembangan baharu ini adalah langkah besar ke hadapan dalam penghantaran ubat dalam tubuh manusia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain