suria

Gunung berapi meletus lagi, 6,000 penduduk setempat dipindahkan

Ribuan penduduk dipindahkan susulan letusan terbaharu pada Jumaat. -Foto Aditya Pradana Putra/ via REUTERS

GUNUNG Lewotobi Laki-laki di Indonesia meletus beberapa kali pada Jumaat, memuntahkan abu gunung berapi setinggi 10 kilometer (km) ke udara.

Letusan di Pulau Flores dalam wilayah Nusa Tenggara Timur itu merosakkan lebih daripada 2,000 rumah dan memaksa ribuan penduduk berpindah.

Abdul Muhari, jurucakap agensi pengurusan bencana negara, berkata letusan-letusan itu "cukup signifikan" kerana hujan abu dan pasir yang mencapai kawasan-kawasan sekitar.

ARTIKEL BERKAITAN: Gunung berapi meletus awal pagi, sekurang-kurangnya 9 penduduk terbunuh

Ketua agensi vulkanologi Indonesia, Hadi Wijaya, pula berkata salah satu letusan pada Jumaat menghasilkan lajur abu setinggi lapan hingga 10 km.

Letusan pada Jumaat menghasilkan lajur tertinggi sejak letusan pertama pada Ahad, kata Abdul.

Kira-kira 6,000 daripada lebih 16,000 penduduk yang tinggal di kawasan terdekat gunung berapi dipindahkan ke kampung-kampung lain, menurut pegawai kerajaan Flores, Heronimus Lamawuran.

Abdul berkata bekalan makanan dan topeng untuk mangsa di beberapa pusat pemindahan adalah mencukupi dan keadaan terkawal. - Agensi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain