TINDAKAN licik seorang lelaki memperdaya lima wanita termasuk isterinya bagi mengekalkan gaya hidup mewah, mengundang perhatian masyarakat setempat. Lebih mengejutkan apabila kesemua wanita terbabit tinggal di kompleks perumahan yang sama di China, tanpa menyedari mereka 'berkongsi' lelaki. Malah salah seorang daripada wanita terbabit mendiami bangunan yang sama dengan isterinya. Hubungan rahsia itu berlangsung selama empat tahun sehinggalah dia yang dikenali dengan nama samaran Xiaojun, ditahan polis. Memetik laporan South China Morning Post, segalanya bermula apabila dia yang berasal dari wilayah Jilin menggunakan imej mewah bagi memperdaya kesemua wanita terbabit termasuk isterinya yang dikenali sebagai Xiaojia. Bagaimanapun, selepas mengetahui latar belakang dan status sebenar, Xiaojun diusir isterinya. Tindakan itu membuatkan dia menggunakan taktik sama untuk memikat seorang lagi wanita yang dikenali menerusi aplikasi dalam talian. Menggunakan alasan untuk mengubah suai rumah masa depan mereka, dia meyakinkan wanita terbabit untuk meminjamkan 140,000 yuan (RM86,115). Namun kesemua wang itu dibelanjakan sepenuhnya untuk mengekalkan imej mewahnya di samping menyewa sebuah unit kediaman di bangunan yang sama dengan isterinya. Pada masa sama, Xiaojun turut memperdaya tiga lagi wanita iaitu dua pelajar universiti dan seorang jururawat dengan meminjam wang daripada mereka. Penipuannya terbongkar pada April tahun lalu seleapas salah seorang pelajar universiti terbabit meminta dia melangsaikan hutang bagi membolehkan bayaran pengajian dilakukan. Tindakannya menyerahkan beg plastik hitam yang mengandungi 100,000 yuan (RM61,511) palsu mengundang kemarahan dan mendorong wanita terbabit membuat laporan polis. Xiaojun kemudiannya ditangkap bagi membantu siasatan dan didakwa atas jenayah yang dilakukan. Susulan itu, dia dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun enam bulan dan denda 120,000 yuan (RM73,813) kerana penipuan, bigami dan kecurian. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube