suria

Lelaki rogol berpuluh-puluh wanita sejak 20 tahun lalu digantung di khalayak, ‘umpan’ mangsa ajak kahwin

Pesalah rogol dan zina dihukum gantung depan orang awam.

SEORANG lelaki Iran yang disabitkan kesalahan merogol berpuluh-puluh wanita sejak dua dekad lalu, dihukum bunuh di khalayak ramai.

Mohammad Ali Salamat dihukum gantung selepas Mahkamah Agung Iran mengesahkan hukuman matinya pada awal Oktober lalu.

Hukuman dijalankan pada awal pagi Selasa di sebuah tanah perkuburan di bandar barat Hamedan.

Terdahulu, lelaki berusia 43 tahun itu disabitkan kesalahan selepas kira-kira 200 wanita tampil menuduhnya melakukan jenayah rogol.

Malah dia yang mengendalikan sebuah farmasi dan gimnasium di bandar itu didakwa telah melakukan jenayah itu sejak 20 tahun lalu.

Laporan oleh media Iran mengatakan bahawa dalam kebanyakan kes, Mohammad Ali merogol mangsanya selepas mereka terpedaya dengan lamaran perkahwinan mahupun ketika bercinta.

Selepas melakukan hubungan intim, dia didakwa memberikan pil pengguguran kepada mangsanya.

Dia bagaimanapun ditangkap pada Januari lalu dengan rekod kes rogol terbanyak yang pernah dikaitkan dengan seorang pesalah di Iran.

Selepas penahanannya, ratusan orang berkumpul di jabatan kehakiman bandar itu dan menuntut hukuman mati ke atasnya.

Untuk rekod, rogol dan perzinaan adalah antara kesalahan di Iran yang boleh dihukum mati.

Pada 2005, Iran secara terbuka menggantung seorang lelaki berusia 24 tahun yang merogol dan membunuh 20 kanak-kanak.

Pada 1997, pihak berkuasa menggantung seorang lelaki berusia 28 tahun kerana menculik, merogol dan membunuh sembilan gadis dan wanita di Tehran. - Al Arabiya

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain