suria

Khemah kenduri bocor, air hujan mencurah atas pelamin! Pengantin tetap sempoi teruskan nikah

Video tular memaparkan air terjun mencurah-curah di pelamin kerana atap khemah bocor. -Foto TikTok

VIDEO majlis pernikahan sepasang pengantin yang berlatarbelakangkan pelamin dihiasi 'air terjun' menjadi tular di media sosial.

Video yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @petramotret itu memaparkan momen sepasang mempelai sedang duduk di hadapan pelamin untuk menjalani upacara akad nikah.

Apa yang menarik perhatian netizen, air hujan yang mencurah ke pelamin dari bumbung khemah kerana bocor, seolah-olah ia kelihatan seperti air terjun.

"Dekorasi bunga-bunga sudah biasa, ini seperti 'air terjun'," demikian kapsyen yang ditulis pada perkongsian tersebut.

Sehingga kini video berkenaan meraih lebih 2.6 juta jumlah tontonan.

Sementara itu, jurugambar majlis perkahwinan yang juga pemilik akaun TikTok berkenaan, Petra Kurniawan berkata, cuaca pada hari berkenaan mendung sebelum hujan lebat.

"Memang hari itu agak mendung. Lebih kurang pukul 11 pagi hujan turun agak lebat selama kira-kira sejam. Kenapa jadi macam tu, sebab hanya ada kanvas atas khemah pelamin.

"Bila air banyak tak dapat mengalir, ia kemudian bocor... seperti dalam video," kata Petra memetik Wolipop.

Petra berkata, akad nikah bagi pasangan Dewi dan Fery diadakan pada 1 November lalu di Desa Giriharjo, Wonogiri di Jawa Tengah, Indonesia.

Menurut Petra, pasangan pengantin serta keluarga pada mulanya panik melihat khemah pelamin bocor akibat hujan lebat.

Bagaimanapun, kebocoran tersebut dapat dibaiki dan majlis diteruskan seperti biasa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain