SEORANG bilal berusia 53 tahun ditahan polis kerana disyaki merogol kanak-kanak berkeperluan khas di dalam sebuah masjid. Menurut polis, kes bermula ketika mangsa berusia 10 tahun itu keluar untuk membeli makanan ringan (jajan). Namun disebabkan kedai ditutup, mangsa memilih untuk pulang ke rumah, dalam kejadian di Aceh, Indonesia pada Ahad lalu. "Ketika dalam perjalanan pulang, mangsa disekat oleh bilal (suspek) di sebuah masjid di daerah Tanah Luas. Dia cuba mengajak dengan cara memujuk mangsa. "Pelaku kemudian membawa kanak-kanak itu ke sebuah bilik di dalam masjid. "Di situlah pelaku melakukan perbuatan kejam. Setelah melampiaskan nafsunya, pelaku menyuruh mangsa pulang," kata Ketua Siasatan Jenayah Aceh Utara, AKP Novrizaldi pada Jumaat. Kejadian itu hanya diketahui ibu bapa mangsa selepas didesak beberapa kali untuk memberitahu apa yang berlaku kepadanya. Menurutnya, ibu mangsa mula curiga apabila melihat basikal anaknya berada di perkarangan masjid dan melihat anaknya keluar dari masjid. Selepas mendengar pengakuan anaknya, ibu bapa mangsa segera membuat laporan kepada Polis Aceh Utara. Setelah siasatan dibuat, Unit Siasatan Jenayah Polis Aceh Utara akhirnya menangkap pelaku pada Rabu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube