SEORANG pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 22 tahun ditahan kerana terbabit dalam kes langgar lari yang meragut nyawa seorang pejalan kaki. Akibat rempuhan itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 45 tahun tercampak ke tepi jalan dan mengalami kecederaan parah. Suspek didakwa memandu dengan cuai sehingga melanggar seorang pejalan kaki hingga maut, dalam kejadian yang berlaku di Ringroad Utara, Sleman di Yogyakarta, Indonesia pada Khamis lalu. Susulan kejadian itu, suspek ditahan di kolejnya selepas polis mengesan kenderaan yang dipandunya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Semasa siasatan dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sleman pada Sabtu, suspek memberikan keterangan yang mengejutkan. Menurut suspek, dia bersama seorang rakan wanita di dalam kereta ketika kejadian. Bercakap kepada pegawai penyiasat, dia tidak menyangka rakan wanitanya mahu melakukan seks oral ke atasnya ketika sedang memandu. Malah, suspek juga mendakwa tidak menyedari sudah melanggar seseorang. "Saya fikir hanya melanggar tiang atau kaki lima, bukan orang. Jadi saya tidak berhenti dan terus sahaja pergi," jelasnya. Suspek kini berdepan tindakan undang-undang kerana memandu dengan cuai hingga mengakibatkan kematian. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube