suria

Rakaman CCTV dedah punca anak 7 tahun tertekan... Rupanya dipukul guru tuisyen, siap ugut nak culik!

Seorang murid menjadi mangsa dera oleh guru tuisyen. -Gambar hiasan

SEORANG guru tuisyen dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun dan denda kerana mengakibatkan kecederaan dan mengugut murid berusia tujuh tahun.

Hakim memutuskan keputusan itu selepas mengambil kira impak psikologi yang memberi kesan terhadap perkembangan mental kanak-kanak tersebut.

Hukuman terhadap guru berusia 45 tahun itu diputuskan di sebuah mahkamah di Aligarh, India, lapor Times of India.

Tertuduh juga dikenakan denda sebanyak Rs 58,000 (RM3,067).

Terdahulu pada 18 November 2018, bapa kepada kanak-kanak itu memfailkan aduan di balai polis Gandhi Park, memaklumkan bahawa anaknya yang belajar di sebuah sekolah swasta, mula menunjukkan tanda-tanda tertekan dan ketakutan.

Keadaan itu mendorong lelaki tersebut untuk membawa anaknya bertemu dengan pakar psikiatri.

Pada masa sama, dia memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah, termasuk di bilik belajar ketika anaknya diajar oleh guru tuisyen terbabit.

Rakaman CCTV itu menunjukkan guru tuisyen berkenaan mencederakan anaknya menggunakan kunci motosikal dan pen.

Lebih mengejutkan, mangsa turut mendedahkan bahawa guru tersebut pernah mengancam untuk menculiknya.

Susulan itu, guru tuisyen berkenaan dipenjara namun dibebaskan dengan jaminan beberapa minggu kemudian. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain