SEORANG pekerja pasar mini maut selepas kepalanya tersepit dalam lif khas untuk mengangkut barang. Menurut polis, dalam kejadian yang berlaku pada petang Sabtu, mangsa yang merupakan pekerja pasar mini di Lampung, Sumatera, dikejarkan ke hospital namun tidak dapat diselamatkan. Memetik laporan Detik, Ketua Polis Bandar Lampung, Komisioner M Hendrik Apriliyanto berkata, hasil siasatan polis mendapati kematian mangsa yang berusia 29 tahun itu berpunca daripada kesilapan manusia (human error). "Ketika kejadian, mangsa tidak menyedari tangannya menyentuh butang lif manakala kepalanya tidak berada dalam keadaan selamat. "Mangsa berada di tingkat tiga, dia melihat ke bawah dari lif barang. Dia ketika itu ingin memindahkan barang," jelas Hendrik. Hendrik berkata, rakan sekerja mangsa cuba memberi bantuan dengan mematikan lif dan mengeluarkan mangsa. "Namun, disebabkan leher dan kepalanya tersepit dalam lif, ia mengakibatkan mangsa maut. "Mangsa dibawa ke hospital namun doktor mengisytiharkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube