TIGA wanita ditemukan mati lemas dalam kolam renang di sebuah resort peranginan, dalam kejadian pada pagi Ahad. Menurut polis, ketiga-tiga mangsa berusia antara 20 tahun hingga 21 tahun. Memetik laporan India Today, hasil siasatan polis mendapati ketiga-tiga mangsa mendaftar masuk untuk menginap di resort persendirian (private) yang terletak di Mangaluru, Karnataka, India pada Sabtu. Pada pagi hari kejadian sekitar pukul 10 pagi, ketiga-tiga wanita berkenaan masuk ke dalam kolam, selepas memasang telefon bimbit untuk tujuan rakaman video. Hanya beberapa minit selepas memasuki kolam, seorang daripada wanita itu lemas, dan dalam usaha untuk menyelamatkannya, dua wanita lain turut lemas. Keseluruhan kejadian berlaku dalam beberapa minit, kata polis. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kolam renang turut menunjukkan tiga-tiga mangsa bergelut untuk berenang. Insiden tragis tersebut disedari oleh kakitangan resort yang kemudian memaklumkan kepada pihak polis. Polis kini menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube