SEORANG warga emas maut akibat disengat tebuan ketika sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya. Kejadian dilaporkan berlaku di Desa Luwang, Sukoharjo, Jawa Tengah pada Sabtu. Menurut Ketua Kampung yang dikenali sebagai Bahrun, mangsa yang berusia 68 tahun ketika itu sudah hampir sampai ke rumahnya apabila ada sekumpulan kanak-kanak membaling batu ke arah sarang tebuan pada sebatang pokok jati. Tanpa disangka, mangsa diserang oleh kawanan tebuan menyebabkannya terjatuh daripada motosikal. Mangsa bertindak berlari menuju ke rumahnya untuk menyelamatkan diri. Dia kemudian segara dihantar ke hospital oleh anaknya memandangkan terdapat sengatan pada tubuhnya. Dilaporkan, mangsa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) namun meninggal dunia pada Ahad. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube