suria

Pertahan anak curi teh ais... Ibu serang pekerja kedai, gigit pak guard siap acu pisau

Video yang tular memaparkan wanita berkenaan menyerang seorang pekerja kedai minuman untuk mempertahankan anaknya. -Foto Douyin/SCMP

SEORANG wanita mencetuskan kemarahan ramai selepas video memaparkannya menyerang seorang pekerja kedai minuman dan pengawal keselamatan, menjadi tular di media sosial.

Dalam insiden yang berlaku pada 12 November lalu di Guangzhou, China, wanita tersebut dilaporkan cuba mempertahankan anak lelakinya selepas 'kantoi' mencuri secawan teh susu.

Memetik laporan South China Morning Post, insiden bermula apabila anak lelaki kepada wanita berkenaan secara diam-diam mengambil minuman yang dipesan oleh pelanggan lain.

Pekerja yang ternampak kejadian itu bertindak menegur namun wanita berkenaan memarahinya.

"Siapa suruh awak letak di situ?" kata wanita berkenaan membela anaknya.

Pertengkaran mulut antara wanita berkenaan dengan pekerja kedai minuman menjadi semakin tidak terkawal apabila dia cuba melakukan serangan fizikal dengan menendang, menarik rambut dan menolak pekerja itu sehingga terjatuh.

Wanita itu kemudian menarik tangan anaknya untuk meninggalkan lokasi kejadian namun dihalang oleh seorang pengawal keselamatan.

Bagaimanapun, dia bertindak lebih agresif apabila menggigit pengawal keselamatan tersebut dan kemudian mengeluarkan sebilah pisau untuk menakut-nakutkan orang yang melihat kejadian berkenaan.

Difahamkan, pekerja kedai minuman itu terpaksa mendapatkan rawatan ekoran mengalami kecederaan.

Mangsa turut membuat laporan polis berhubung kejadian.

Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut, namun belum diketahui sama ada wanita berkenaan sudah ditahan atau sebaliknya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain