SEORANG pemandu pelancong ditahan atas kesalahan merogol dan membunuh seorang wanita dalam kejadian pada Isnin. Kejadian berlaku sewaktu mangsa, JS menggunakan perkhidmatan kembara dibuat suspek untuk melancong dari Palapo ke Morowali di Indonesia bersama dua lagi lelaki yang dikenali sebagai S dan E. Pelaku, Andi Gugun dan dua rakannya membawa mangsa ke rumah S dan tidak lagi meneruskan perjalanan ke destinasi sepatutnya. Menurut Ketua Polis Daerah Sulawesi Selatan, tertuduh mengajak mangsa untuk melakukan hubungan seks dengan bayaran sebanyak 200,000 rupiah (RM281). Bagaimanapun, mangsa dengan tegas menolak tawaran berkenaan. Siasatan lanjut mendapati pelaku menggunakan helah dengan membawa mangsa ke Gunung Kayulangi lalu mencekik leher dan merogolnya. Dalam keadaan separuh sedar, mangsa mengugut untuk melaporkan perkara itu kepada polis. JS cuba melarikan diri namun lelaki itu sekali lagi mencekik lehernya sehingga dia meninggal dunia. Pelaku kemudiannya mengambil anting-anting mangsa lalu melemparkan mayat wanita itu ke dalam gaung. Polis yang menerima laporan kejadian itu akhirnya bertindak untuk menjalankan siasatan. Susulan itu, Andi berjaya ditangkap di Desa Timor, Kalimantan Timur untuk tindakan dan hukuman mengikut kesalahan dilakukan. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube