suria

Wanita maut ditikam lebih 20 kali! Kesan cedera banyak pada leher, wajah

Anggota forensik memeriksa lokasi kejadian. -Foto KhaoSod

SATU kejadian yang sungguh menyayat hati.

Begitulah kisahnya apabila seorang wanita ditemukan maut dengan lebih 20 tikaman di dalam bilik sewanya sekitar daerah Pa Ngio, Thailand pada Jumaat, 13 Disember.

Penemuan itu dilaporkan oleh ahli keluarga mangsa kepada seorang pegawai penyiasat dikenali sebagai Rattanakorn Chantranapaporn di Balai Polis Ang Thong.

Anggota forensik, detektif dan perubatan kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian.

Di dalam bilik bernombor 10 itu, mangsa yang dikenal pasti sebagai Patamaporn dilihat terbaring tidak bernyawa berhampiran tandas, kelihatan wujud kesan tikaman pada bahagian leher, wajah, lengan dan perut.

"Kami turut menemukan sebilah pisau berukuran 30 sentimeter yang berlumuran darah di dalam singki tandas, berkemungkinan besar adalah senjata digunakan untuk membunuh mangsa.

"Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia kurang dari dua jam sebelum kami tiba di lokasi kejadian. Terdapat kesan pecah masuk pada pintu bilik sewa, manakala keadaan bilik yang bersepah menandakan mangsa bergelut dengan penyerang.

"Kami juga menemukan sebuah kereta jenis Toyota Yaris di luar bilik sewa yang tayar sebelah kirinya sudah dipancitkan. Siasatan dan operasi pemburuan suspek sedang dijalankan," kata Rattanakorn.

Sementara itu, adik kepada mangsa memaklumkan pemberita bahawa dia sudah dua hari gagal menghubungi kakaknya.

"Kali terakhir saya berhubung dengan kakak adalah menerusi panggilan telefon pada 11 Disember lalu. Risau sekiranya sesuatu yang buruk berlaku, kami pun pergi mencari kakak di bilik sewanya, tak sangka ini apa yang terjadi.

"Kakak menyewa bilik tu dengan adik iparnya, tapi tinggal bersendirian sejak beberapa hari lalu kerana adik ipar menghadiri kursus di luar kawasan," katanya. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain