suria

Lelaki tikam mati teman wanita, sebelum ambil nyawa sendiri... Video tular perjelas motif pembunuhan

Keadaan di sekitar lokasi penemuan mayat mangsa.

SATU tindakan yang sungguh tidak berperikemanusiaan.

Begitulah kisahnya apabila seorang lelaki dikenali sebagai Sbusiso Lawrence tergamak membunuh teman wanitanya dalam kejadian di Umzinto, Afrika Selatan pada Selasa lalu.

Lebih tragis apabila suspek kemudiannya ditemukan tergantung pada sebatang pokok, dipercayai perbuatan bunuh diri.

Pegawai polis tempatan, Kolonel Robert Netshiunda berkata, mayat wanita malang yang berusia 25 tahun itu ditemukan terbaring di tengah jalan dengan beberapa kesan tikaman.

"Kami turut menemukan sebilah pisau yang sudah patah di sebelah mayat," kata Robert.

Siasatan awal mendapati suspek mengambil mangsa yang merupakan teman wanitanya dari rumah menggunakan kereta.

"Ketika dalam perjalanan ke destinasi, dipercayai berlaku ketegangan antara mereka berdua sehingga mendorong suspek untuk membunuh mangsa.

"Kereta suspek ditemukan tidak jauh dari mayat wanita itu, kesan darah juga terdapat di dalam kereta. Operasi memburu suspek segera dilancarkan.

"Tidak lama selepas itu kami menemukan mayat suspek tergantung dari sebatang pokok. Sebelum mengambil nyawa sendiri, suspek sempat memuat naik video ke media sosial menjelaskan sebab dia membunuh mangsa," ujar Robert.

Difahamkan mangsa menolak mentah-mentah cinta suspek, walaupun suspek sudah memberikan sepenuh kasih sayang serta ada merancang untuk membiayai kewangan mangsa. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain