PERASAAN cemburu yang tidak dikawal boleh membawa padah. Begitulah kisahnya apabila seorang lelaki tergamak menembak sehingga mati pasangan baharu kepada bekas isterinya serta seorang lagi rakan dalam kejadian di Ao Noi, Thailand pada Khamis, 19 Disember. Pihak polis tempatan yang tiba di tempat kejadian menemukan dua individu maut manakala seorang lagi cedera. Anggota forensik dan pasukan perubatan dari Hospital Prachuap turut dikejarkan ke lokasi kejadian. Hasil siasatan awal polis menjumpai motosikal jenis Honda Wave di bahu jalan, penunggang motosikal dikenali sebagai Patikorn, berusia 40 tahun, maut akibat kecederaan parah selepas ditembak di bahagian belakang. Seorang lagi mangsa, Thongchai berusia 38 tahun yang merupakan pembonceng ditemukan sekitar tiga meter dari lokasi mangsa pertama iaitu di bawah sebatang pokok kelapa. Dia juga meninggal dunia kerana mengalami kecederaan selepas ditembak di bahagian bahu kanan dan pipi. Mangsa ketiga yang cedera adalah Wichian, dia ketika kejadian duduk di atas motosikal di antara kedua-dua mangsa, dia dibawa ke Hospital Prachuap untuk menerima rawatan lanjut. Bekas isteri kepada penyerang iaitu Thalsita berkata suspek mengekori mereka sebelum melepaskan tembakan secara rambang. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube