suria

Suami isteri racun dua anak kecil, kemudian ambil nyawa sendiri… Polis siasat kematian tragis 4 sekeluarga

Tekanan hidup membuatkan seseorang mampu bertindak di luar kewarasan akal. -Gambar hiasan

SEPASANG suami isteri bersama dua anak kecil mereka ditemukan tidak bernyawa selepas pihak berkuasa melakukan siasatan susulan mendapat laporan daripada jiran mangsa.

Kejadian dilaporkan berlaku di rumah sewa pasangan berkenaan yang terletak di Bengaluru, Karnataka, India pada Isnin, lapor Indiatoday.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, Shekhar H Tekkannavar berkata, siasatan awal mendapati pasangan berkenaan meracun dua anak kecil mereka yang berusia lima tahun dan dua tahun, sebelum bertindak menggantung diri.

Kejadian disedari oleh pembantu rumah mereka yang datang untuk bekerja, pada pagi hari kejadian.

Menurutnya, pembantu rumah tersebut hairan apabila panggilannya tidak berjawab sebelum memaklumkan kepada jiran terdekat.

Bimbang perkara buruk berlaku, jiran pasangan itu bertindak membuat laporan kepada polis.

Sebaik memasuki rumah sewa, pihak berkuasa menemui jasad pasangan itu dan anak-anak mereka yang sudah tidak bernyawa.

Ujarnya, si suami bekerja sebagai perunding perisian di sebuah firma swasta di bandar tersebut sejak dua tahun lalu.

Tambahnya lagi, motif kejadian masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh oihak polis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain