suria

Misteri kehilangan wanita terjawab, mayat ditemukan bersama kucing mati dalam kereta

Mayat wanita ditemukan bersama kucing di dalam kereta. Foto KhaoSod

MISTERI kehilangan seorang wanita selama empat hari terjawab apabila mayatnya ditemukan bersama kucing peliharaannya yang mati, di dalam sebuah kereta.

Penemuan mayat itu susulan pihak polis dimaklumkan mengenai kematian dalam sebuah kereta Toyota berwarna hitam yang diletakkan di kawasan terpencil.

Kejadian berlaku di Chonburi, Thailand pada Selasa.

Pintu kereta berkunci dan didapati terdapat mayat seorang wanita yang dibalut dengan selimut, dengan sebuah dapur arang di sebelahnya serta bangkai kucing hitam di dalam bakul.

Ahli keluarga mengenali mangsa iaitu seorang wanita berusia 34 tahun yang hilang sejak 4 Januari lalu.

Anak saudaranya yang berusia 26 tahun menemukan nota di rumah wanita itu, menyatakan hasrat terakhirnya.

“Tiada penjelasan. Ini pilihan saya. Pembakaran mayat tanpa upacara.

"Terima kasih. Sila ambil apa-apa untuk bayar hutang-hutang. Biarkan kereta diambil kembali,” tulis wanita itu.

Terdahulu, keluarga melaporkan mengenai kehilangan wanita itu kepada polis, dan menyebarkan gambar kereta tersebut di media sosial yang akhirnya membawa kepada penemuan mayat mangsa.

Pakar forensik memeriksa tempat kejadian dan menunjukkan tiada unsur jenayah.

Siasatan awal mendapati wanita itu kemurungan dan sangat terkesan dengan kematian anjing yang dipelihara selama sembilan tahun pada 1 Januari lalu.

Insiden itu mendorong mangsa untuk meninggalkan rumah pada 4 Januari lalu.

Kes tersebut dalam siasatan polis. Mayat mangsa diserahkan untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kejadian. - Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain