suria

Warga emas maut berlumuran darah, pergelangan tangan hilang... Anjing peliharaan jadi ‘suspek’

Anjing yang turut berada di lokasi penemuan mayat seorang lelaki warga emas. -Foto The Pattaya News

MALANG tidak berbau

Begitulah kisahnya apabila seorang lelaki warga emas berusia 84 tahun maut selepas diserang oleh anjing peliharaannya.

Mangsa dikenali sebagai Khanthi ditemukan oleh anggota penyelamat dengan kesan gigitan pada bahagian lengan dan badan berhampiran tandas rumahnya di Kaeng Khoi, Thailand.

Dalam kejadian pada 8 Januari itu, mayat mangsa juga dikatakan berlumuran darah akibat kecederaan parah dialaminya.

Hasil siasatan awal mendapati mangsa sudah meninggal dunia lebih dari sehari.

Dalam pada itu, seekor anjing berwarna hitam dengan baka campuran Thai-Pitbull dilihat menyalak secara agresif berhampiran mayat mangsa, badannya dirantai pada batang buluh.

Bahagian pergelangan tangan dan lengan kanan mangsa yang hilang menyebabkan pihak berkuasa mengesyaki ia sudah dimakan oleh anjing peliharaan tersebut.

Sementara itu, anak lelaki kepada mangsa menjelaskan anjing yang dipanggil sebagai Black itu dibesarkan oleh ayahnya sejak kecil dan mereka mempunyai hubungan yang rapat.

"Sukar untuk percaya kejadian ini boleh berlaku kerana Black merupakan seekor anjing yang sangat riang dan sering disayangi," ujarnya.

Pihak berkuasa mempercayai anjing tersebut berasa stres kerana dirantai bagi jangka masa yang lama sehingga mendorong ia untuk bertindak di luar kawalan.

Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain