SEORANG lelaki menerima padah akibat menampar seorang jururawat dalam kejadian bulan lalu, apabila mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 45 hari terhadapnya atas kesalahan tersebut.
Hakim Mahkamah Rayong Kwaeng, Thailand menetapkan keputusan berkenaan pada Rabu (19 Mac) selain mengarahkan tertuduh membayar pampasan kira-kira 70,000 baht (RM9,168) kepada mangsa.
Terdahulu dalam kejadian yang berlaku Februari lalu, seorang jururawat yang bertugas di Hospital Rayong mendakwa dikasari seorang waris pesakit.
Insiden tersebut mendapat perhatian warga maya selepas kakak kepada jururawat berkenaan membuat hantaran di media sosial, menceritakan kejadian yang menimpa adiknya.
Menurut wanita itu dalam hantaran tersebut, adiknya (mangsa) memberi teguran kepada seorang waris pesakit supaya tidak membawa anak kecilnya ke wad.
Individu itu kemudian mengadu kepada suaminya tentang teguran berkenaan, yang menyebabkan lelaki tersebut marah dan bertindak melempang muka adiknya sebanyak dua kali.
Rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) juga memaparkan seorang lelaki yang memakai baju oren, melempang jururawat terbabit sebanyak dua kali sebelum berlalu pergi. -Agensi