suria

Empat maut gara-gara pemandu bakar van pekerja… Puncanya kerana kecewa gaji dipotong

Empat terkorban apabila pemandu van pekerja bertindak membakar kenderaan berkenaan. -Foto NDTV

EMPAT individu maut selepas van pekerja yang dinaiki mereka terbakar ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, dalam kejadian pada Khamis.

Menurut polis, ketika kejadian, van berkenaan sedang membawa 14 pekerja apabila tiba-tiba ia terbakar ketika menghampiri kawasan Hinjawadi, Pune, India.

Hasil siasatan mendapati, insiden berkenaan bukan satu kemalangan sebaliknya berpunca daripada tindakan sabotaj pemandu van berkenaan.

"Suspek berdendam kerana mempunyai pertikaian dengan beberapa pekerja, selain dia turut kecewa dengan isu pemotongan gaji.

"Suspek membawa benzena (bahan kimia yang sangat mudah terbakar) dan menyimpan kain di dalam van. Ketika bas menghampiri Hinjawadi, dia menyalakan mancis dan membakar kain itu," ujar Timbalan Pesuruhjaya Polis, Vishal Gaikwad. 

Menurutnya, suspek kemudian bertindak melompat keluar dari van yang sedang marak dijilat api, namun turut mengalami kecederaan akibat melecur.

Suspek sedang dirawat di hospital dan akan ditahan selepas kecederaan pulih.

Identiti empat pekerja yang maut sudah pun dikenal pasti iaitu Shankar Shinde, 63; Rajan Chavan, 42; Gurudas Lokare, 45 dan Subhash Bhosale, 44 tahun.

Kesemuanya meninggal dunia kerana duduk di belakang dan tidak dapat membuka pintu keluar kecemasan.

Selain itu, enam pekerja lain turut mengalami kecederaan melecur. -Agensi

 

Artikel Lain