SEBUAH video memaparkan penduduk kampung sedang bertungkus-lumus mengusung keranda sambil menyeberangi sungai untuk ke tanah perkuburan, menjadi tular di laman sosial.
Difahamkan, kejadian berkenaan dirakam di Kampung Munggu, Ponorogo, Jawa Timur, pada Rabu.
Menurut ketua kampung yang dikenali sebagai Paniran, penduduk terpaksa mengalihkan keranda merentasi sungai selepas jambatan utama yang menjadi laluan tunggal mereka runtuh akibat banjir yang melanda, beberapa hari sebelumnya.
Justeru menurutnya, penduduk kampung terpaksa bertungkus-lumus untuk mengusung jenazah ke tanah perkuburan yang terletak di seberang sungai.
Ujarnya, mereka perlu menuruni tebing sungai setinggi empat meter dalam keadaan jalan yang licin akibat lumpur dan air sungai yang agak deras.
Malah mereka mengambil inisiatif untuk membuat jambatan sementara menggunakan dua batang buluh bagi memudahkan urusan pemindahan keranda.
"Jarak antara rumah (arwah) dengan kubur kira-kira dua kilometer.
"Jambatan itu satu-satunya jalan ke kubur yang terletak di seberang sungai. Tanpa jambatan, kami terpaksa mencari cara lain," jelas Paniran. -Agensi