suria

Pengarah hospital swasta maut ditembak di pejabat

Membunuh dan memiliki senjata api adalah kategori jenayah berat. -Gambar hiasan

PENGARAH sebuah hospital swasta dilaporkan ditembak mati di dalam kabin pejabatnya pada petang Sabtu, menurut pihak polis.

Kejadian disedari seorang kakitangan hospital yang menemui mayat pengarah Wanita itu dalam keadaan berlumuran darah serta mengalami kesan luka tembakan pada tubuh badannya.

Kejadian dilaporkan berlaku di Patna, India.

Mangsa segera dikejarkan ke sebuah pusat perubatan untuk rawatan lanjut, namun dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Pihak polis berkata mereka masih belum mengenal pasti individu yang bertanggungjawab di atas serangan tersebut, dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk memastikan motif di sebalik insiden tragis berkenaan.

"Polis mendapat maklumat mengenai kejadian itu sekitar pukul 4.30 petang. Siasatan menyeluruh sedang dijalankan," ujar seorang pegawai polis.

Seorang kakitangan hospital turut melaporkan bahawa sekurang-kurangnya lima kelongsong peluru ditemui di lokasi kejadian. 

Pihak polis kini sedang mengimbas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar untuk mencari petunjuk bagi membantu dalam siasatan.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak hospital berhubung kejadian berkenaan. -Agensi

Artikel Lain