SEORANG lelaki didakwa menikam teman wanitanya yang berusia 17 tahun gara-gara cemburu mangsa bergambar bersama jejaka lain.
Menurut polis, mangsa yang ditikam menggunakan gunting mengalami luka tikaman berukuran tiga sentimeter pada bahagian payudara kirinya.
Kejadian dilaporkan berlaku di Desa Nunukan Barat, Kalimantan pada malam Sabtu.
Ketua Perhubungan Awam Polis Nunukan, Ipda Zainal Yusuf berkata, saksi di tempat kejadian segera membawa mangsa ke Hospital Wilayah Nunukan untuk mendapatkan rawatan.
"Suspek menikam mangsa sekali dengan gunting hingga mangsa terjatuh. Selepas itu, suspek terus melarikan diri dan meninggalkan mangsa yang kesakitan," jelas Zainal.
Menurut Zainal, sejurus selepas kejadian, suspek yang berusia 24 tahun menyerah diri di Balai Polis Nunukan dan mengakui perbuatannya.
Ketika disoal siasat, suspek berkata dia dan mangsa sudah menjalin hubungan cinta sejak Jun 2024.
Kejadian bermula apabila suspek melihat status WhatsApp mangsa yang memaparkan gambarnya bersama seorang lelaki lain.
Suspek kini telah ditahan untuk siasatan lanjut. -Agensi