SEORANG wanita menggunakan ribuan duit syiling untuk membayar yuran kepada badan pengurusan bersama (JMB) di kediamannya disebabkan servis buruk yang diberikan.
Menurut wanita itu, bekalan elektrik ke apartmennya dipotong sementara, pada 11 Mac lalu.
Pihak JMB di kediamannya memaklumkan bahawa dia perlu membayar tunggakan caj pengurusan sebelum dapat menyelesaikan bil elektriknya untuk memulihkan bekalan elektrik.
Insiden yang berlaku di Jinan, wilayah Shandong di China itu didedahkan oleh wanita bernama Pi di platform dalam talian.
"Siapa yang memberi mereka hak untuk mendesak saya membayar caj pengurusan hartanah dengan memotong bekalan elektrik di rumah saya?" soal Pi dalam keadaan marah di menerusi satu video.
Sebagai pembalasan, dia mengeluarkan 6,000 syiling bernilai 650 yuan (RM396) dari sebuah bank dan pada keesokan hari, pergi untuk membayar bilnya.
Bagi menambah kesukaran untuk kakitangan JMB, wanita itu merobek kertas yang digunakan untuk membalut syiling tersebut supaya pekerja terpaksa mengira syiling itu satu per satu.
Pada mulanya, staf enggan menerima syiling tersebut, memberitahu Pi supaya mendepositkan wang itu di bank, tetapi dia menolak idea itu.
Bagaimanapun, mereka kemudian bersetuju untuk mengira syiling tersebut selepas Pi memberi amaran untuk menghubungi polis.
Kakitangan mengambil masa lebih tiga jam untuk mengira wang tersebut, sambil dipantau Pi di pejabat mereka.
Selepas pembayaran dibuat, bekalan elektrik di rumah Pi kembali pulih.
Wanita itu berkata, dia tidak membayar bil ini tepat pada masanya kerana tidak berpuas hati dengan perkhidmatan pengurusan kediamannya. -Agensi