suria

Jijik! Ibu suruh anak kencing dalam gelas ketika makan di restoran, beri alasan 'tak tahan'... Pelayan pula pura-pura tak nampak

Meja yang digunakan keluarga kanak-kanak semasa menikmati hidangan di restoran

SEORANG budak lelaki berusia dua tahun didapati membuang air kecil ke dalam gelas di sebuah restoran di Hangzhou, China selepas diarahkan ibunya.

Mendedahkan insiden menjijikan pada 13 Mac itu, salah seorang pelanggan yang ingin dikenali sebagai Tang berkata, pada awalnya salah seorang penjaga kanak-kanak terbabit ingin mengambil tong sampah berhampiran.

Namun tindakannya dihalang ibu kanak-kanak lelaki terbabit yang kemudiannya menggunakan gelas milik restoran sebagai alat untuk menadah air kencing.

Lebih meloyakan apabila gelas yang digunakan bukanlah jenis bekas pakai buang sebaliknya merupakan perkakas yang dihidangkan kepada pelanggan restoran itu.

"Apabila budak lelaki itu berkata dia mahu membuang air kecil, seorang individu warga emas pergi mendapatkan tong sampah, mencadangkan budak itu untuk kencing di sana. 

"Tetapi ibu budak itu berkata, 'biar saja dia kencing terus ke dalam gelas,'" ujar Tang.

Apa yang lebih membuatnya marah ialah tiada kakitangan restoran yang campur tangan walaupun meja budak lelaki itu berada berhampiran kaunter mereka.

Memandangkan gelas berisi air kencing itu kekal di atas meja, Tang dan rakan-rakannya tidak tahan dengan bau air kencing itu seterusnya meminta seorang pekerja restoran menangani perkara itu.

Insiden itu telah menjadi trend di media sosial susulan ia digelar sebagai Pintu Kencing Haidilao versi 2.0.

Artikel Lain