suria

Tak sempat sampai kedai mi, dua beradik tunggang motosikal maut dirempuh SUV... Pemandu didakwa biar anak main stereng!

Dua beradik terkorban dalam kemalangan selepas motosikal mereka dirempuh sebuah SUV. -Foto Thaiger

DUA beradik berusia sembilan dan 13 tahun maut selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu seorang wanita.

Menurut polis, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Naruemon, 13 tahun, dan adiknya, Punyaphat, yang berusia sembilan tahun. 

Ketika kejadian yang berlaku pada petang Sabtu (22 Mac) itu, kedua-dua mangsa dalam perjalanan menuju ke kedai mi berhampiran rumah nenek mereka yang terletak di wilayah Isaan, Buriram, Thailand.

Pihak polis menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan tersebut pada pukul 6 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Nenek mangsa, Thongchan Wa-ngam, 62, turut berlari ke lokasi kejadian yang hanya 50 meter dari rumahnya, dan dia dilihat memeluk cucunya yang terkorban sambil menangis teresak-esak. 

Sementara itu pemandu SUV, seorang wanita berusia 43 tahun bersama dua anaknya yang berusia 12 tahun dan dua tahun dilaporkan selamat.

Thongchan mendakwa, pemandu SUV berkenaan memandu sambil memangku anak kecilnya yang berusia dua tahun di atas riba sebelum kanak-kanak tersebut bermain stereng hingga kenderaan itu hilang kawalan.

Namun dakwaannya disangkal oleh pemandu berkenaan dan dia berkata ketika kejadian, anak kecilnya berada di tempat duduk sebelah pemandu dan sedang muntah, menyebabkan perhatiannya terganggu.

Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut, termasuk cubaan untuk mendapatkan rakaman daripada kamera pemuka SUV berkenaan. -Agensi

Artikel Lain