SEORANG wanita berusia 23 tahun nekad terjun dari kereta api yang sedang bergerak selepas hampir menjadi mangsa rogol.
Insiden yang berlaku pada pukul 8.15 malam di Kompally, India pada 22 Mac lalu mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Memetik laporan The New Indian Express, mangsa memfailkan aduan kepada Polis Kereta Api Kerajaan (GRP) pada hari berikutnya berikutan kecederaan yang dialami.
Menurut GRP, pada hari kejadian, mangsa yang merupakan pekerja swasta dalam perjalanan dari Medchal ke Secunderabad untuk membaiki paparan telefon bimbitnya.
Semasa berada di dalam koc wanita, dia didatangi seorang lelaki berusia 25 tahun yang didakwa mengganggunya secara seksual.
Malah lelaki terbabit berterusan mengganggunya sehingga menyebabkan dia nekad untuk melompat keluar dari kereta api kerana bimbang akan keselamatan diri.