suria

Kesal polis 'lepas tangan', wanita guna saluran media... Harap bapa hidap Alzheimer dapat pembelaan

Tangkap layar seorang warga emas didera petugas pusat jagaan.

DEMI mendapatkan keadilan, seorang wanita mendedahkan rakaman kamera pengawasan di sebuah pusat jagaan warga emas yang didiami bapanya, kepada pihak media.

Ia berikutan, petugas di pusat jagaan sekitar Bang Kapi di Bangkok, Thailand itu tidak disiasat sewajarnya meskipun selepas aduan dan laporan polis dibuat.

Memetik laporan Thaiger, wanita terbabit pada awalnya meluahkan kehairanan apabila melihat bapanya yang juga penghidap Alzheimer berusia 77 tahun terpaksa menggunakan tangan kiri untuk menyokong tangan kanan semasa makan.

Malah, dia juga mendakwa terdapat kesan gigitan pada pergelangan tangan bapanya semasa melawat mangsa.

Susulan itu, dia meminta rakaman kamera pengawasan di pusat jagaan tersebut yang seterusnya membongkarkan penderaan fizikal dialami bapanya.

Mengakui terkejut dengan klip video yang dilihat, dia kemudiannya membuat aduan kepada pusat jagaan itu dan balai polis berhampiran.

Namun malangnya tiada tindakan diambil sehingga akhirnya dia mendedahkan insiden terbabit menerusi media pada 23 Mac lalu.

Menurut wanita berusia 59 tahun ini, dia mengesyaki bapanya didera sejak Januari lalu.

Malah semasa mengagihkan wang sempena sambutan Tahun Baru Cina pada Februari, dia terkejut apabila bapanya menunjuk salah seorang penjaga dan menyatakannya jahat.

 

Artikel Lain