SEGO Keluban @ Nasi Keluban (Kerabu) juga merupakan antara makanan istimewa yang sering disajikan dalam kehidupan seharian masyarakat jawa Malaysia. Sego keluban biasanya disediakan untuk majlis “among-among”. Among-among bermaksud kenduri kecil yang biasanya akan dihadiri oleh suri rumah dan anak-anak sebagai tanda kesyukuran. Pada kebiasaanya among-among akan bermula apabila seorang anak lahir didalam sesebuah keluarga. Bermula dengan ‘Muyi’, ‘Puputan’ seterusnya akan berlaku banyak among-among sehingga kanak-kanak itu mencecah usia dua tahun. Penyajian sego keluban juga adalah seperti sego ambeng, iaitu didalam dulang dan dimakan beramai-ramai. Biasanya majlis among-among tertentu seperti majlis among-among turun tanah akan disertai dengan makanan yang dipanggil ‘Jajan Pasar”. Berikut resipi yang disediakan Riverstone Eco Resort. Nasi Keluban Bahan: 1/2 biji kelapa parut – putih sahaja 1 cekak pucuk ubi 200gm taugeh 200gm kacang panjang 2 inci belacan 5 ulas bawang putih 5 biji bawang merah 2 sudu udang kering 10 biji cili api 1 sudu asam jawa 10 biji isi kencur @ cekur 5 helai daun kencur @ cekur 4 biji telur ayam – direbus 4 ekor ikan kembong – digoreng 200gm ikan bilis 2 sudu tepung gandum 1 cawan minyak masak. 200gm ikan masin bulu ayam Garam dan gula Cara: Semua sayur-sayuran dicelur dan dipotong. Bawang putih, bawang merah, belacan cili dan udang kering digoreng dan ditumbuk. Isi kencur ditumbuk berasingan, daun kencur dimayang halus. Gaulkan bahan-bahan yang ditumbuk tadi dengan kelapa parut, tambahkan gula, garam, kencur, dan sedikit air asam jawa. Setelah itu gaulkan dengan bahan-bahan yang telah dicelur tadi. Ikan masin bulu ayam dibasuh dan digaul dengan sedikit tepung dan digoreng.Ikan bilis digaul dengan tepung dan dikepal-kepalkan, juga digoreng. Telur dikupas dan dibelah empat. Cara Menghidang : Lapikkan dulang dengan daun pisang. Letakkan nasi anggaran 5 orang makan, di atas nasi letakkan keluban tadi. Telur rebus diletakkan di atas keluban. Ikan kembong, ikan masin dan ikan bilis diletakkan berselang-seli di tepi nasi.