suria

Riuh Di Media Sosial, Khairy Tanya Mana Rakyat Malaysia?

Khairy Jamaluddin. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Jaguh sukan berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang barangkali kecewa selepas hanya meraih pingat perak acara pecut individu lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2018, malam Isnin.

Malah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut menyuarakan rasa kecewanya berhubung acara itu yang berlangsung di Velodrom Nasional di Nilai.

Namun kekesalan Khairy bukanlah kerana kegagalan Azizul yang terkenal dengan jolokan 'The Pocket Rocket Man' meraih emas, sebaliknya beliau kecewa dengan sambutan hambar penyokong tempatan terhadap juara keirin dunia tersebut.

"Apa yang mengecewakan bukanlah Azizul menang pingat perak, tetapi velodrom hanya separuh saja yang penuh. Mana penyokong sukan Malaysia yang lain?

“Ini Kejohanan Berbasikal Trek Asia dan kita ada juara dunia di negara ini. Jangan bagi alasan pasal publisitilah, cuti umumlah dan bla, bla, bla

“Rakyat Malaysia ada saja dengan macam-macam alasan. Kita boleh menang banyak pingat emas kerana bagi pelbagai alasan,” kata Khairy dengan nada kesal menerusi InstaStory di laman sosial Instagramnya, malam Isnin.

Luahan Khairy di Instagram.

Khairy turut mempersoalkan segelintir rakyat Malaysia yang hanya pandai berkata-kata di media sosial dengan memberi komen mahupun menyatakan sokongan terhadap atlet dan sukan tanah air.

“Cakap banyak kat media sosial. Komen bagai. Tunjuk pandai. Tunjuk bagus. Tetapi rakyat Malaysia bukannya nak datang tengok,” katanya dengan nada kesal.

Khairy (tengah) bersorak ketika pelumba negara Zulhelmi Zainal merebut emas pada acara 'persuit' individu dalam Kejohanan Lumba Basikal Asia (ATC) 2018 di Velodrom Nasional Nilai, Isnin. -fotoBERNAMA

Dalam pada itu, Khairy berpendapat bahawa corak persembahan Azizulhasni dalam saingan malam Isnin adalah memuaskan meskipun ditewaskan pencabar dari Jepun, Kazunari Watanabe.

Bagaimanapun beliau berharap atlet tersebut akan terus gemilang di peringkat dunia pada masa akan datang dan mempertahankan gelaran juara dunia.

Azizulhasni gagal meraih pingat emas selepas tewas pada Kazunari Watanabe. Foto Bernama

Azizulhasni yang turun dengan misi mempertahankan gelaran juara pecut Asia yang diraih pada edisi 2017, terpaksa akur dengan kepantasan Watanabe.

Atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu sebelum ini, turut kempunan meraih pingat emas selepas sekadar memenangi gangsa dalam acara keirin pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, kekecewaan terlepas dua pingat emas itu sedikit terubat selepas beliau berjaya mencipta kejutan ketika turun beraksi pada pusingan kelayakan di sebelah pagi dengan merakam 9.774 saat untuk mencipta rekod baharu Asia.

Artikel Lain